Mawi Beri Penjelasan Isu Baju Kurta Persis Gaya Baju Melayu Kerabat Raja Johor


Penyanyi Mawi membuat penjelasan mengenai isu gaya pemakaian baju Melayu


By Syafiqah Azman

Baru sahaja selesai isu mengenai helang dan pipit tidak terbang sama tinggi tempoh hari, kini empunya badan bagi jenama pakaian kurtanya sendiri tampil berikan penjelasan. 

Penyanyi Mawi atau nama sebenar Asmawi Ani, 38, menjelaskan bahawa baju yang dijual sempena sambutan Aidilfitri itu adalah baju kurta dan bukannya baju Melayu Teluk Belanga seperti yang disampaikan oleh TMJ. 


“Saya sendiri orang Johor dan memang sudah lama pakaian sebegitu dipakai oleh orang Johor. Sejak kecil pun saya sudah pakai seperti itu dan memang itu adalah gaya Johor sendiri.

“Memang kurta tersebut tiada kolar dan apabila dilihat dari jauh seakan-akan macam Teluk Belanga. Namun kalau nak diikutkan, baju Melayu Teluk Belanga mempunyai sulaman di bahagian kolarnya,” jelas Mawi. 

Penyanyi Aduh Saleha itu turut menyatakan bahawa baju kurta yang dijualnya adalah gaya ‘round neck’ biasa sahaja dan tidak menjual satu set bersama seluar hitam seperti didakwa oleh segelintir pihak. 


Mungkin ada sedikit kecelaruan maklumat apabila melihat sendiri poster yang dipamerkan, betul tak? 

Kalau baju Melayu sudah semestinya mempunyai tiga poket manakala baju kurta yang dijual oleh Mawi hanya kelihatan satu poket sahaja di bahagian dada belah kirinya. 

Kalau tidak boleh digayakan dengan seluar berwarna hitam, nampak gayanya kena pakai seluar warna lain la kan, tak begitu? 


Terdahulu, kecoh di media sosial apabila TMJ memuat naik beberapa posting di Instagram storynya mengenai pemakaian sesetengah pihak ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri yang dilihat seakan dengan pakaian tradisi keluarga diraja Johor. 

Pakaian baju Melayu Teluk Belanga yang dikenakan bersama seluar hitam serta samping itu merupakan satu identiti yang melambangkan keluarga Sultan Ibrahim dan hanya keluarga kerabat  yang memerintah sahaja yang  layak memakai pakaian tersebut.