Pertempuran Epik ‘Godzilla: King of the Monsters’ Berjaya Pukau Penonton


Filem Epik Godzilla: King of the Monsters dari Warner Bros.


By Nabil Rahim

Genre: Aksi, Fantasi 

Pengarah: Michael Dougherty

Tarikh tayangan: 30 Mei 2019

Durasi: 2 Jam 12 Minit

Perasaan campur baur selepas tonton ‘Godzilla: King of the Monsters’. Seronok pun ada, suspen pun ada, mengantuk pun ada. 

Boleh dikatakan pengalaman menonton filem ini turun naik dari awal sampai habis. Tapi bagi peminat filem raksasa, ‘Godzilla: King of the Monsters’ salah satu filem wajib tonton bulan ini! 

Filem ini mengisahkan bandar-bandar besar seluruh dunia berhadapan dengan  ancaman raksasa selepas berlakunya insiden serangan Godzilla di San Francisco pada 2014. 

Syarikat Monarch yang bertanggungjawab atas penyelidikan raksasa mendapati bukan Godzilla sahaja yang bermaharaja lela di bumi, tetapi ada banyak lagi makhluk gergasi lain yang mendiami bumi ini di seluruh dunia! 


Kalau anda tonton dari trailernya, ada tiga ekor raksasa yang menyerang bumi iaitu Rodan, Mothra dan Ghidorah. 

Raksasa ini sudah membuat kemunculan dalam filem klasik jepun, sekarang giliran Hollywood pula mencuba nasib menghasilkan ‘reboot’ gergasi ini. CGI setiap raksasa pun boleh tahan, puas hati dengan grafik visual filem ini yang sangat realistik.

Bukan itu sahaja, ngauman keramat Godzilla membuatkan penulis terpaku di tempat duduk, lagi-lagi dalam panggung berkuasa Dolby Atmos. Memang ternanti-nanti akan ngauman ini sejak trailernya lagi. 

Tapi dari aspek plot cerita pula, agak kompleks dan susah untuk diikuti. Dr. Emma Russell (Vera Farmiga) menjadi pembelot kepada Monarch, dan mengikuti arahan bekas tentera AS, Jonah Alan (Charles Dance). 

Katanya, biar sahaja raksasa ini bertarung untuk mengembalikan keseimbangan di bumi. Tapi Monarch mempunyai pandangan yang berlainan. Penonton perlu betul-betul fokus pada setiap babak dan dialog, kalau tidak anda akan terlepas. 

Nampak seperti penulis skrip mahu meletakkan banyak perkara dalam filem ini. Oleh sebab itu, jalan cerita jadi meleret dan hilang ‘mood’ menonton. Ada ketika penulis hampir terlelap pada beberapa babak. 

Plot dalam Godzilla (2014) arahan Gareth Edwards lebih tersusun dan mudah difahami. Walaupun kemunculan Godzilla itu tidak sampai 10 minit sahaja, tetapi penonton mudah untuk mengikuti jalan cerita. 

Babak raksasa MUTO di rel kereta api dalam filem itu lebih mendebarkan berbanding filem ini, dan salah satu babak kegemaran bagi penulis. Lain pula dengan ‘Godzilla: King of the Monsters’, tiada babak mendebarkan yang setanding dengan tahun 2014.


Selain itu, pelakon yang menyerlah hanya Dr. Ishiro Serizawa (Ken Watanabe) dan Kyle Chandler (Mark Russell). 

Watak Vera Farmiga tak sesuai dalam menjiwai watak saintis, mungkin dah terbiasa jadi penghalau hantu dalam dunia ‘The Conjuring’. 

Bukan itu sahaja, Maddison Russell (Millie Bobby Brown) juga tidak menyerlah. Lakonannya agak mengecewakan sebagai hero utama. Penulis tak dapat merasai penghayatan emosi dari lakonan mereka berdua.

Perkembangan karakter untuk Jonah Alan juga tidak ditunjukkan, hanya sekadar memberitahu agenda melalui dialog sahaja. ‘Character arc’ untuk beliau terlalu kosong, tidak menggambarkan sifat jahil sebagai antagonis yang menyembah raksasa. 

Rasanya filem seterusnya akan tunjuk lebih banyak kisah silam untuk watak Jonah Alan ini seperti yang ditunjukkan dalam babak ‘post-credit’.


Namun, majoriti peminat bukannya kisah sangat tentang jalan cerita. Mereka hanya nantikan Godzilla beraksi menentang gergasi di bumi. 

Pertempuran epik dalam setiap babak sangat mencemaskan, lagi-lagi raksasa lain mempunyai kuasa tersendiri. Godzilla kali ini lebih besar, ganas dan jika lihat dari wajahnya sahaja sudah menakutkan.

Rasanya Warner Bros. sudah menebus kesilapan dan mengambil kira kritik peminat yang tidak berpuas hati kerana sekejap sangat kemunculan Godzilla pada 2014. 

Ghidorah, Rodan dan Mothra juga boleh tahan kehebatannya. Ghidorah, seekor naga berkepala tiga merupakan ancaman terhebat bagi Godzilla. 

Ghidorah merupakan raksasa bijak, sehinggakan penulis mengeluh memikirkan bagaimana cara ia dapat ditumbangkan. Rodan, seekor burung gergasi zaman purba merupakan ‘sidekick’ bagi Ghidorah, memang habis-habisan Godzilla dibantai teruk oleh makhluk ini. 

Lain pula kisah Mothra, rama-rama gergasi yang pada awalnya nampak seperti ancaman kepada bumi, tapi sebenarnya ‘rakan’ bagi Godzilla.

Pertempuran terakhir merupakan babak ikonik dimana kesemua raksasa menentang satu sama lain, termasuk pihak tentera dan Monarch sendiri. 

Selepas trend filem Godzilla (2014), ‘Kong: Skull Island’ (2017) dan kini ‘Godzilla: King of the Monsters’, rasanya peminat sudah dapat teka yang Warner Bros. mencipta sebuah 'Monsterverse', dengan sekuel ‘Godzilla Vs Kong’ pada Mac 2020. 


Inilah petanda peminat bakal menyaksikan pertembungan dua gergasi ikonik ini di layar perak. Harap-harap menerusi ‘Monsterverse’ ini, kemungkinan dapatlah menyaksikan kemunculan lebih banyak raksasa pada masa hadapan. 

Terutamanya Mechagodzilla, kalau anda masih ingat ia pernah muncul dalam filem ‘Ready Player One’ arahan Steven Spielberg pada 2018. Kalaulah Mechagodzilla ini muncul, sudah serupa filem Transformers pula!


Secara ringkas, tidak dinafikan bahawa plot cerita dan perkembangan karakter dalam filem ini agak longgar, tetapi babak pertempuran begitu memuaskan, sarat dengan aksi luar biasa, teruja menyaksikan raksasa merebut tempat di bumi. 

Semestinya filem yang tak akan dilepaskan buat peminat Godzilla. Pastikan anda berkesempatan menontonnya dalam panggung IMAX, Dolby Atmos atau 4DX, anda akan merasai pengalaman menonton yang luar biasa!

Rating: 7.8 / 10

P/S: Mungkinkah ada kaitan antara watak Jonah Alan dengan Kapten James Conrad (Tom Hiddleston)? Keduanya adalah tentera, dan mengetahui rahsia Monarch dalam menjejak raksasa di bumi. Mungkin dua karakter ini menjadi punca utama Godzilla menentang Kong nanti?